Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    764 terima sijil taraf kerakyatan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Seramai 764 orang menerima sijil-sijil taraf kerakyatan mereka pada Majlis Penyampaian Sijil Taraf Kerakyatan ke-42 yang berlangsung di Dewan Persidangan BRIDEX, Jerudong, hari ini.

    Penyampaian sijil-sijil taraf kerakyatan berkenaan disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

    Pemangku Pengarah Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Haji Azmi bin Haji Abdul Rahim semasa menyampaikan ucapan alu-aluan menyatakan harapan para penerima sijil taraf kerakyatan untuk menghargai pengurniaan berkenaan dengan mencurahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta akan sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkuat kuasa di negara ini dari semasa ke semasa.

    Beliau menambah, majlis kali ini, diadakan dalam suasana menjelangnya Awal Tahun Baharu Hijrah 1447 dan setentunya merupakan hari gembira khususnya bagi semua umat Islam dan lebih bermakna lagi kepada mereka yang menerima sijil-sijil kerakyatan hari ini.

    “Semoga dengan Tahun Baharu Hijrah ini dan dengan pengurniaan taraf kerakyatan abiskita semua ini akan meningkatkan tekad dan azam dalam menanai tanggungjawab sebagai rakyat dalam mencurahkan jasa dan bakti kepada negara yang kita cintai ini.”

    Pada majlis berkenaan, seramai 764 orang penerima menerima sijil-sijil taraf kerakyatan mereka yang telah mendapat limpah kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Para penerima terdiri daripada mereka yang telah menduduki dan lulus ujian di bawah Akta Taraf Kebangsaan Brunei, Penggal 15 iaitu di bawah Bab 5(1) dan 8(1) Ujian Bahasa Melayu secara bertulis dan secara lisan, Bab 6(1) iaitu terdiri daripada anak-anak kepada ibu warga Brunei, anak-anak kepada ayah warga Brunei dan anak-anak angkat kepada ibu bapa angkat warga Brunei serta juga di bawah Bab 5(6) terdiri daripada isteri-isteri kepada suami warga Brunei.

    ATAS & BAWAH: Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin menyampaikan sijil kepada penerima pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Penerima bergambar bersama sijil mereka. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda