LOS ANGELES, 27 MEI – Ben Simmons mendiamkan pengkritik selepas menjaringkan 22 mata, sembilan rebound, lapan assist ketika Philadelphia 76ers mengalahkan Washington Wizards 120-95 untuk mendahului keputusan siri playoff 2-0, kelmarin.
Joel Embiid juga menjaringkan 22 mata dan meraih tujuh rebound ketika pasukan pilihan, Sixer menyaksikan beberapa pemainnya turut memberi sumbangan untuk kemenangan tersebut termasuk Tobias Harris, yang menjaringkan 19 mata dan sembilan rebound.
Simmons menjaringkan 12 mata daripada 22 mata dijaringkan dalam suku pertama, memberikan persembahan playoff memukau selepas menerima kritikan kerana menjaringkan hanya enam mata pada perlawanan Ahad di siri pertama.
“Saya di sini untuk memenangi perlawanan dan saya melakukan apa yang perlu bagi membantu pasukan saya mencatat kemenangan, tidak kira apa cara. Saya bukan cuba untuk membuktikan seseorang salah atau berniat melakukan seperti itu. Saya cuma menjalankan tugas saya untuk menang,” kata Simmons.
Pasukan pilihan utama, 76ers kini berada di kedudukan kukuh dalam siri terbaik daripada tujuh perlawanan Eastern Conference dengan perlawanan ketiga dijadualkan pada Sabtu di Washington.
“Saya memberitahu dia, ‘Anda mempunyai semua ruang dan banyak masa yang ada.
Hanya perlu menyerang,’” kata Embiid kepada Simmons. “Dia merupakan seorang pemain yang fizikal dan seorang atlet serta dia mampu bermain.”
Wizards meraih tempat mereka menuju perlawanan tamat musim dengan menduduki tangga kelapan dan pilihan terakhir, tetapi dilihat sedang mengharung jalan yang penuh berliku. – AFP
