LOS ANGELES, 10 MEI – Philadelphia 76ers kini hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk menewaskan Boston Celtics dalam playoff NBA kelmarin, manakala Denver Nuggets menewaskan Phoenix Suns untuk mendapatkan tempat di peringkat akhir.
Persembahan hebat di Boston daripada Pemain Paling Berharga NBA, Joel Embiid membantu Sixers meraih kemenangan 115-103 ke atas Celtics untuk membuatkan penyokong tuan rumah terdiam.
Keputusan itu meletakkan Sixers mendahului 3-2 dalam siri terbaik daripada tujuh perlawanan, bermakna mereka akan mara ke pusingan akhir Eastern Conference dengan satu kemenangan pada perlawanan keenam di Philadelphia esok.
Di Western Conference, pasukan pilihan utama, Nuggets juga berada di tempat paling hadapan menentang Phoenix selepas membelasah Suns 118-102 di Denver.
Bintang Denver, Nikola Jokic mencatat triple-double 29 mata untuk kemenangan yang membolehkan Nuggets mendahului 3-2 dalam siri itu, dengan perlawanan keenam di Arizona esok.
Sixers akan menuju ke perlawanan menentang Boston dengan penuh keyakinan selepas persembahan cemerlang dalam permainan kelima.
Embiid memimpin jaringan mata dalam persembahan serangan Sixers yang sangat seimbang, dengan lima pemain mencapai dua digit mata.
Tyrese Maxey menyeksa Celtics dengan 30 mata, termasuk enam jaringan tiga mata, manakala James Harden sentiasa menjadi duri di sisi Celtics, menamatkan dengan 17 mata, 10 assist dan lapan rebound.
“Saya fikir Joel melakukan tugas yang hebat ketika membuat percubaan dan menghantar bola apabila perlu,” kata jurulatih Sixers, Doc Rivers.
“Ketenangan kami secara keseluruhan adalah baik. Awda tahu mereka akan melakukan percubaan, mereka akan membuat serangan. Pasukan itu sukar, dan awda perlu mengatasi tekanan tersebut. Saya fikir pemain kami melakukannya,” tambahnya. – AP