ZAGREB, 16 FEB – Sebuah muzium baharu telah dibuka menawarkan pengalaman suka ria kepada orang ramai untuk menghapuskan duka dalam kehidupan moden.
Hembusan asap putih menyambut kedatangan pengunjung sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke HaHaHouse di ibu negara Croatia, Zagreb untuk menghilangkan kebimbangan mereka sebelum dibawa masuk ke ‘mesin basuh gergasi’.
“Sentrifugal kehidupan” kemudiannya membawa mereka menuruni gelongsor dengan gaya Willy Wonka berpusing-pusing turun ke dalam kolam yang dipenuhi dengan bebola putih kecil menandakan permulaan ke tempat yang lebih bahagia bermula.
Pencipta HaHaHouse, Andrea Golubic berkata dia mempunyai idea untuk membuat muzium berkenaan semasa pandemik apabila ramai orang berasa sedih, tertekan dan terasing.
“Saya sedar bahawa saya mempunyai misi iaitu untuk menyembuhkan orang ramai dengan ketawa,” tambah wanita berusia 43 tahun itu.
Idea itu, “datang terus dari hati”, Golubic memberitahu AFP dan, “pada hari itu juga saya senaraikan 78 pameran. Begitulah cara HaHaHouse bermula.”
Golubic berkata sifat periang dirinya sendiri semasa berusia tujuh tahun telah menjadi inspirasi. “Gambar saya sebagai pelajar darjah satu, dengan gigi lebar dan sentiasa ketawa. Saya sentiasa bergurau semasa kecil,” katanya.
Pelawat menekan butang untuk proses “disinfeksi daripada sifat negatif,” sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke dalam muzium yang mengandungi lapan zon interaktif.
Pengunjung juga boleh menyanyi dengan riang dengan latar belakang suara ayam melaungkan lagu-lagu hits seperti Dancing Queen daripada ABBA, terdapat juga sebuah bilik karaoke dengan suara herot dan ‘Gelanggang Sumo’ untuk bergusti dengan memakai kostum yang gebu.
Beberapa sejarah humor yang serius dari zaman purba hingga moden yang diceritakan melalui teater, filem atau daripada Internet turut disediakan.
Muzium ini juga menyelitkan gaya jenaka lisan daripada permainan kata, slapstick, daripada jenaka gelap kepada sindiran dengan bantuan beberapa pilihan kata-kata lucu.
“Saya telah melakukan begitu banyak pembedahan plastik hingga apabila saya mati mereka akan menderma badan saya kepada Tupperware,” adalah salah satu contoh daripada pelawak Amerika Syarikat, Joan Rivers.
Golubic berkata, HaHaHouse telah menarik ramai orang daripada kanak-kanak kecil hingga orang dewasa dengan peluang kepada mereka untuk bermain-main menjadi kanak-kanak semula.
“Semua pengunjung yang masih ada sedikit sifat kebudak-budakan boleh bersuka ria dan segarkan diri mereka sendiri,” tegasnya.
Seorang pesara, Bruno Dadic memberitahu AFP dia gembira dengan lawatannya, “kerana tidak pernah ada jenaka yang cukup dalam hidupnya”.
“Ketawa adalah ubat jiwa,” katanya.
Hospital psikiatri Zagreb telah menyuarakan minat untuk melawat muzium tersebut dan beberapa acara lain melibatkan sekolah dan rumah persaraan turut dalam perancangan.
“Muzium ini hebat,” kata Aleksandar Suka yang menyambut ulang tahun kelimanya dengan melawat ke sana.

Ditemani ibunya, anak kecil itu berkata dia suka berbaring di atas ‘Katil Paku’ kerana ia menggeleteknya.
Seorang penyanyi, Zorica Bucic berkata muzium itu sesuai untuk zaman ini kerana, “ketika kita dihujani dengan begitu banyak berita buruk.
“Masuk ke sini adalah seperti memasuki zaman kanak-kanak, dibebaskan daripada semua masalah. Jika awda boleh datang ke sini selalu, maka awda tidak perlu membayar pakar psikologi,” katanya.
Sesungguhnya, ketawa adalah mekanisme pertahanan yang memberikan kekuatan kepada seseorang dalam menghadapi masalah, menurut pakar psikologi Petar Kraljevic yang memberitahu AFP. Beliau juga turut menyukai idea muzium berkenaan.
“Jika preskripsi untuk tiga jam ketawa setiap 24 jam sehari boleh ditulis dan diikuti, maka itu sudah tentu akan memberikan hasil yang positif,” tambahnya. – AFP