Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Seramai 78 orang mualaf dari keempat-empat daerah mengikuti Skim Bimbingan Lanjutan I bagi Mualaf Siri ke 108 (Perempuan) selama 14 hari bermula 13 Jun hingga 28 Jun.
Bagi Daerah Brunei dan Muara, skim bimbingan diadakan di Bangunan Darul Huda, Pusat Dakwah Islamiah (PDI) manakala skim yang lain diadakan di pejabat unit dakwah daerah-daerah.
Daripada jumlah peserta berkenaan, seramai 25 orang adalah dari Daerah Brunei dan Muara, 18 dari Daerah Tutong, 17 dari Daerah Belait dan 18 orang lagi dari Daerah Temburong.
Antara pengisiannya adalah Iqra’, Tauhid, Fiqh Solat (sembahyang-sembahyang sunat, sembahyang musafir dan sembahyang pesakit), Fiqh Munakahat (Perkahwinan), Sejarah Islam, Tasawuf, amali agama dan sesi kongsi sama dari Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga.
Objektif skim tersebut adalah untuk memberikan sokongan dari sudut moral, spiritual dan psikologi kepada peserta mualaf, membantu para peserta bagi lebih memahami ajaran agama Islam, serta memberi panduan menghayati ajaran agama Islam dalam kehidupan seharian dan memperlihatkan ajaran agama Islam yang indah.
Skim yang dijalankan mengutamakan kualiti pembelajaran dan penyebaran sahsiah yang baik. Manakala pendekatan yang dibawa adalah interaktif dan fleksibel mengikut tajuk-tajuk yang disampaikan dan dibincangkan bersama peserta mualaf.
