Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Kementerian Pertahanan
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JULAI – Majlis Doa Kesyukuran Jiwa Murni bagi Bakal-bakal Jemaah Haji Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) diadakan di Surau Al-Baraqah, Pangkalan Tentera Udara Rimba, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, di sini, hadir selaku tetamu kehormat di majlis itu ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Seramai 79 bakal haji termasuk ahli keluarga mereka akan menunaikan ibadah haji, di mana 11 orang daripadanya ialah kakitangan awam Kementerian Pertahanan yang masih berkhidmat, seorang kakitangan awam Kementerian Pertahanan yang bersara, 15 orang anggota ABDB dan 21 orang anggota ABDB yang bersara.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Surah Yasin yang dipimpin oleh Guru Ugama Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Pengiran Fakhrul Syakirin bin
Pengiran Haji Zainuddin dan diikuti dengan penyampaian tazkirah ibadah haji bertajuk ‘Berjihad dalam Mencapai Darjat Haji Mabrur’ yang disampaikan oleh Pengiran Haji Abdul Basit bin Pengiran Haji Zaini daripada Majlis Ta’lim Anwar Al Hudaa.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada pengerusi majlis, Mejar (U) Haji Mohd Rahimin bin Haji Ismail dari TUDB dan diikuti dengan penyampaian sumbangan derma dan cendera kasih berupa pakej ubat-ubatan kepada bakal-bakal haji yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua dan isteri, Datin Hajah Kalshom binti Haji Suhaili. Doa selamat telah dibacakan oleh Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim.
Turut hadir ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud; Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah, TUDB, pemerintah-pemerintah angkatan tentera, timbalan setiausaha, komandan-komandan, pengarah-pengarah awam dan tentera, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai serta kakitangan awam Kementerian Pertahanan dan ABDB.


