MOSCOW, 2 JUN – Satu letupan di kilang bahan letupan di tengah Rusia semalam mencedera 79 orang dan memusnahkan hampir 200 bangunan berhampiran, beritahu pegawai tempatan kepada agensi berita Rusia.
Letupan berlaku di kilang ‘Kristall’ di Dzerzhinsk kira-kira 400 kilometer dari timur Moscow, di rantau Nizhny Novgorod.
Seorang pegawai kementerian kesihatan tempatan yang dipetik oleh agensi berita TASS berkata 79 orang mengalami kecederaan ringan atau sederhana, peningkatan besar berbanding angka awal 19 orang.
“Menurut maklumat terbaharu, 79 orang meminta bantuan perubatan selepas letupan di Kristall: 38 pekerja kilang dan 41 penduduk bandar. Tidak ada kanak-kanak di kalangan mangsa yang cedera,” kata kenyataan kementerian kesihatan.
Seramai 15 orang dimasukkan ke hospital tetapi tidak ada seorang yang mengalami kecederaan serius, katanya. Daripada jumlah yang cedera, 14 terpaksa dimasukkan ke hospital, tetapi tidak ada sesiapa yang terbunuh, kata jurucakap.
Letupan memusnahkan lima bangunan kilang dan 180 buah rumah berhampiran.
Penolong gabernor rantau Nizhny Novgorod, Dmitry Krasnov, memberitahu televisyen Rusia bahawa dua orang masih hilang. – AFP