Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    79 kes rasuah libat warga PDRM, isu integriti terus jadi perhatian – KPN

    KUALA LUMPUR, 12 NOV – Sebanyak 79 daripada 1,022 kes rasuah yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari Januari hingga September tahun ini adalah melibatkan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

    Beliau berkata, hal itu sekali gus menunjukkan isu integriti dalam pasukan berkenaan masih memerlukan perhatian dan tindakan berterusan.

    Perkara itu, katanya menjadi peringatan penting agar warga PDRM terus memperkukuh budaya integriti serta meningkatkan pengawasan dalaman bagi memastikan pasukan kekal bebas daripada salah laku dan pelanggaran etika perkhidmatan.

    “Sebagai agensi penguat kuasa utama negara, menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan integriti sebagai teras utama dalam setiap tindakan dan keputusan,” katanya pada Majlis Pengiktirafan Tolak Rasuah dan Sambutan Bulan Integriti Peringkat PDRM 2025 di Maktab PDRM, hari ini.

    Mohd Khalid berkata, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) turut merekodkan sebanyak 1,523 kertas siasatan tatatertib yang telah dibuka atas pelbagai kesalahan termasuk 47 kes melibatkan rasuah.

    Datuk Seri Mohd Khalid Ismail (dua dari kiri) menyampaikan surat penghargaan kepada Sarjan Johnney Ambrose di Maktab PDRM, Cheras pada 12 November. – Bernama

    Beliau berkata, seiring dengan dasar negara, PDRM komited dalam pembangunan Strategi Pembanterasan Rasuah Organisasi (OACS-PDRM) yang berpaksikan Strategi

    Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) sebagai panduan untuk memperkukuh integriti, tatakelola dan usaha pembanterasan rasuah dalam pasukan.

    “Saya menyeru semua jabatan dan formasi berganding bahu dalam usaha ini bagi memastikan strategi pembanterasan rasuah PDRM dapat dibangunkan dengan komprehensif, tersusun dan berkesan.

    “Marilah kita terus memperkukuh mekanisme pencegahan, pengawasan pematuhan dan pembudayaan nilai integriti di setiap lapisan organisasi, kita harus bersama melindungi imej pasukan daripada pengaruh negatif yang mencemarkan nama baik PDRM,” katanya.

    Terdahulu, Mohd Khalid menyampaikan Sijil Pengiktirafan Tolak Rasuah kepada 41 pegawai dan anggota polis serta Anugerah Integriti kepada lapan pegawai polis yang menunjukkan keteguhan prinsip menolak rasuah, walaupun ditawarkan sogokan antara RM200 hingga RM250,000. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda