Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    79 lagi ditahan selepas sambutan kemenangan PSG

    PARIS, 2 JUN – Pihak berkuasa Perancis menahan 79 individu dalam gelombang kedua penahanan susulan sambutan kemenangan Paris Saint-Germain (PSG) dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara Eropah, menurut ketua polis hari ini.

    PSG membelasah Inter Milan dengan kemenangan rekod 5-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Munich pada malam Sabtu, sebelum pulang ke Paris kelmarin untuk perarakan kemenangan di sepanjang Champs Elysees dan sambutan di Stadium Parc des Princes yang dipenuhi penyokong di pinggir ibu negara.

    Kejayaan PSG merangkul trofi paling berprestij dalam bola sepak kelab Eropah buat kali pertama mencetuskan kegembiraan luar biasa di seluruh Perancis, namun dicemari oleh insiden keganasan.

    “Kami melihat kemunculan semula individu yang berniat jahat dan sebenarnya bukan penyokong PSG,” kata Ketua Polis Paris, Laurent Nunez kepada stesen radio RTL.

    “Kami menahan 79 orang, sebahagiannya pada waktu malam,” katanya, sambil menambah bahawa keadaan berjaya dikawal sebelum subuh.

    Golongan muda bertempur dengan pasukan polis selepas perlawanan akhir Liga Juara-juara antara PSG dan Inter Milan pada 31 Mei di Istana Elysee, Paris. – AP

    Ada antara mereka ditahan kerana mengambil penghadang dan seketika menyekat jalan lingkaran di sekitar Paris, manakala yang lain cuba merosakkan premis perniagaan atau menyalakan bunga api di Champs Elysees.

    Pada malam Sabtu, lebih 500 tangkapan dilakukan oleh polis di seluruh negara, menurut Kementerian Dalam Negeri, selepas lebih 200 kenderaan dibakar dan pertempuran tercetus antara polis dan golongan muda.

    Di bandar Dax di barat daya negara itu, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut akibat ditikam di dada.

    Seorang lelaki berusia 23 tahun yang menunggang skuter di pusat bandar Paris turut terbunuh selepas dirempuh kenderaan.

    Seorang anggota polis kini berada dalam keadaan koma selepas cedera akibat terkena bunga api.

    Ketika menerima skuad PSG di Istana Elysee kelmarin, Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengecam keganasan yang disifatkannya sebagai ‘tidak dapat diterima’ ketika sambutan berlangsung. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda