Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Sebagai usaha berterusan untuk menambah dan meningkatkan pengetahuan serta kemahiran bagi membantu dan menyantuni Rakan Seliaan (RS) di Negara Brunei Darussalam, Persatuan Aftercare Support Association (AFSA) mengadakan lawatan ke Jabatan Penjara dan beberapa buah Rumah Perantaraan (Halfway House) di Kuching, Sarawak bermula 26 hingga 28 Ogos.
Seramai lapan ahli Jawatankuasa AFSA menyertai lawatan berkenaan dengan diketuai oleh Yang Di-Pertua AFSA, Hajah Juhana binti Haji Mohd Jaya. Antara ahli-ahli yang menyertai lawatan berkenaan ialah Timbalan Yang Di-Pertua AFSA, Haji Mustapa bin Haji Masri; Pengarah Rancangan dan Aktiviti AFSA, Hajah Salmah binti Haji Mohd Noor; Pengarah Keusahawan AFSA, Hajah Asmah binti Haji Mohd Salleh; Kaunselor dan R&D AFSA, Nur Farzana binti Omar Ali; Motivator AFSA, Haji Ferizal bin Haji Ali; Pegawai Ugama AFSA, Haji Azman bin Haji Musa dan Pengurus Usahawan AFSA, Awangku Amirull bin Pengiran Haji Ahmad.
Lawatan berkenaan bermatlamat untuk menambahkan pengetahuan, kemahiran dalam pengurusan dan pentadbiran RS, meningkatkan tatacara urustadbir dalam pengendalian rumah perantaraan, mengeratkan kerjasama dan kolaborasi bagi kedua- dua pihak serta memberikan motivasi kepada ahli-ahli AFSA supaya lebih komited dan dedikasi dalam usaha menyantuni ahli-ahli RS.
Mengulas mengenai lawatan itu, Haji Mustapa menaruh keyakinan dan kepercayaan penuh bahawa ahli-ahli AFSA yang mengikuti lawatan itu akan dapat merealisasikan hasil-hasil dapatan daripada lawatan berkenaan dan berharap dimensi baru yang lebih efektif dapat dipelajari dalam menyantuni RS.


