ISLAMABAD, 2 MEI – Lapan ahli keluarga maut apabila kereta yang dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung dalam di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, barat laut Pakistan, kata pegawai.
Kemalangan berlaku pada petang kelmarin di daerah Kohistan sepanjang Lebuhraya Karakoram, menurut pegawai daripada agensi penyelamat milik kerajaan, Rescue 1122, kepada Xinhua.
“Kenderaan tersebut hilang kawalan dan terjunam ke dalam gaung, membunuh kesemua lapan penumpang, termasuk empat kanak-kanak,” katanya sambil menambah siasatan sedang dijalankan untuk menentukan punca sebenar kemalangan.
Pasukan penyelamat dan polis peronda lebuh raya bergegas ke lokasi kejadian dan menghantar mayat ke hospital berdekatan, katanya.
Keadaan jalan yang teruk dan pemanduan laju merupakan antara punca utama kemalangan di kawasan pergunungan di utara Pakistan. – Xinhua
