Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Lapan orang belia di bawah Program Belia Brunei Nadi Alam Sekitar (BRUNAS) 2025 telah berlepas ke Tokyo, Jepun bagi menyertai Program Japan-East Asia Network of Exchange for Students and Youths (JENESYS): Brunei-Japan Environmental Protection Exchange pada hari ini.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat berlepas kepada mereka ialah Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Hajah Martinah binti Haji Tamit. Majlis ringkas pelepasan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Dr Haji Muhd Majdi bin Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Abdul Aziz.
Program JENESYS merupakan inisiatif pertukaran belia yang disokong oleh kerajaan Jepun melalui Japan International Cooperation Center (JICE) bagi memupuk persefahaman, mengukuhkan hubungan dua hala dan meningkatkan kesedaran mengenai kelestarian alam sekitar.
Para peserta tersebut terdiri daripada belia yang berjaya memasuki Fasa 2: Program YouGAIN (Youth Green Actions for Innovation) di bawah Program Belia BRUNAS 2025, sekali gus mencerminkan komitmen negara dalam melahirkan generasi belia yang mendukung kelestarian alam sekitar selaras dengan Matlamat 2 Wawasan Brunei 2035.
Mereka dijadualkan berada di Jepun dari 18 hingga 25 November bagi mengikuti rangkaian lawatan pembelajaran, pertukaran pandangan serta sesi perkongsian berkaitan perlindungan alam sekitar dan budaya di Tokyo serta beberapa lokasi terpilih.
Program Belia BRUNAS, anjuran Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan, merupakan platform dwitahunan yang memberi ruang kepada belia untuk terlibat dalam aktiviti kelestarian alam sekitar yang berimpak besar dan berpanjangan.

