Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 3 Nov – Lapan orang belia dari Republik Korea yang berada di negara ini bagi Pertukaran Belia Republik Korea dan Negara Brunei Darussalam ke-7, hari ini, telah mengikuti Program Inap Desa bersama keluarga angkat di Daerah Tutong.
Sebelum pergi ke rumah-rumah keluarga angkat, rombongan belia berkenaan telah berkumpul di Jabatan Daerah Tutong di mana kedatangan mereka dialu-alukan oleh Penolong Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam dan pegawai-pegawai serta kakitangan Jabatan Daerah Tutong.
Tiga buah keluarga angkat di Daerah Tutong telah terpilih bagi menjayakan program berkenaan yang dijalankan selama dua hari. Pegawai Belia dan Sukan, Awang Muhd Amirul Syazmie Ibrahim ketika ditemu bual menjelaskan, Program Inap Desa merupakan salah satu program yang diisi di bawah rancangan program pertukaran belia berkenaan.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/P7-1A_041117.jpg)
Daerah Tutong telah terpilih bagi menjalankan program berkenaan kerana daerah ini dilihat sebagai daerah yang aktif melaksanakan program-program pelancongan dan sesuai dengan tujuannya untuk memperlihatkan kebudayaan hidup masyarakat di Daerah Tutong, jelas Awang Muhd Amirul lagi.
Melalui program tersebut, belia-belia Korea berkenaan juga berkesempatan menyaksikan persembahan budaya daripada masyarakat Dusun, menikmati makanan dan bermain mainan tradisi masyarakat Dusun. Mereka juga akan membuat lawatan ke Pangkalan Waris di Kampung Panapar dan seterusnya melihat hasil kraf tangan masyarakat di Daerah Tutong.
Adapun objektif rancangan pertukaran belia berkenaan adalah untuk memperkenalkan Negara Brunei Darussalam kepada belia-belia ASEAN khususnya belia-belia Korea selain untuk mengetengahkan seni budaya masyarakat Brunei dan untuk memperlihatkan corak kehidupan rakyat Brunei ke dunia para belia Asia.