Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    8 gagal hadap penyata cukai

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Bagi tempoh Julai hingga September 2023, lapan buah syarikat tempatan telah diarahkan untuk membayar denda di Mahkamah Majistret kerana tidak mematuhi Seksyen 52(1) Akta Cukai Pendapatan (Penggal 35).

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Hasil, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, syarikat-syarikat berkenaan telah gagal untuk menghadapkan penyata cukai pendapatan bagi tiap-tiap tahun kewangan yang berkenaan.

    Dua buah syarikat masing-masing dikenakan denda sebanyak $5,000 kerana gagal menghadapkan penyata cukai pendapatan bagi tahun-tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2015, 2016, 2017, 2018 dan 2019.

    Tiga buah syarikat masing-masing dikenakan denda sebanyak $3,000 kerana gagal menghadapkan penyata cukai pendapatan bagi tahun-tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2017, 2018 dan 2019.

    Dua buah syarikat pula masing-masing dikenakan denda sebanyak $2,000 kerana gagal untuk menghadapkan penyata cukai pendapatan bagi tahun-tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2018 dan 2019.

    Manakala itu, sebuah syarikat dikenakan denda $1,000 kerana gagal menghadapkan penyata cukai pendapatan bagi tahun-tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2019.

    Bahagian Hasil, Kementerian Kewangan dan Ekonomi mengingatkan syarikat-syarikat yang berdaftar di bawah Akta Syarikat, Penggal 39 untuk menghadapkan penyata cukai pendapatan masing-masing selewat-lewatnya pada 30 Jun bagi tahun taksiran yang berkenaan.

    Jika sabit bersalah kerana gagal menghadapkannya, di samping dikehendaki untuk membayar denda yang dikenakan oleh mahkamah, syarikat terbabit juga dikehendaki untuk menghadapkan penyata cukai pendapatan yang tertunggak dan membayar cukai pendapatan yang tertunggak serta penalti yang dikenakan iaitu maksimum 17 peratus daripada jumlah cukai yang tertunggak, jika ada.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda