Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JAN – Persidangan Antarabangsa bagi Isu-isu Global dan Islam (iCIGI2024) telah diadakan di Kampus UiTM Cawangan Kelantan, Malaysia, kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), di sini, persidangan dianjurkan oleh UiTM Cawangan Kelantan, Malaysia dengan kerjasama Fakulti Syariah, UNISSA, Negara Brunei Darussalam, Institut Kefahaman Islam Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Sultan Zainal Abdibin.
Persidangan dirasmikan oleh Naib Canselor, Universiti Teknologi MARA, Malaysia, Profesor Datuk Dr Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin di mana ia mengetengahkan tema, The Future of Islam: Navigating Challenges in Local Values and Global Interconnectedness, dengan kepelbagaian bidang yang boleh dirangkumi bersama.
Ia diadakan bagi menyediakan platform untuk perbincangan dan dapat berinteraksi antara semua peserta mengenai Islam dan isu-isu global khususnya dalam kalangan pegawai akademik dan industri bagi menghasilkan penyelidikan, penulisan serta penerbitan ilmiah yang memberikan impak kepada nilai-nilai keilmuan di samping mewujudkan ruang bagi berwacana secara ilmiah.
Sesi pagi persidangan menyaksikan penyampaian ucaptama oleh beberapa orang jemputan khas termasuk Penolong Kanan Profesor di Fakulti Syariah, UNISSA, Dr Hajah Mas Nooraini binti Haji Mohiddin yang menyampaikan ucaptama bertajuk Aplikasi Takaful Model Wakaf di Brunei Darussalam.
Seramai 70 orang peserta membentang secara maya dalam persidangan berkenaan yang terdiri daripada kalangan pakar, ahli akademik, wakil agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang terlibat langsung dalam pelbagai bidang Islam.
Persidangan itu telah dihadiri oleh lapan orang tenaga akademik dan pelajar siswazah UNISSA.
Majlis penutup telah menyaksikan penyampaian kertas kerja dan pembentangan kertas kerja terbaik di mana pelajar Fakulti Syariah, UNISSA, Dayangku Norhazatulimah binti Pengiran Haji Abdul Salam telah dinobatkan sebagai pembentang terbaik dalam tema Islamic Education, Language and Linguistics, dengan kertas kerja bertajuk Amalan Konstruktivisme dalam Pengajaran Al-Quran dalam Talian.


