LONDON, 30 OKT – Lebih lapan juta orang disahkan menghidap tuberkulosis (TB) atau dikenali sebagai batuk kering tahun lalu, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin, jumlah tertinggi yang dicatatkan sejak agensi kesihatan PBB mula menyimpan data.
Kira-kira 1.25 juta orang meninggal dunia akibat TB tahun lepas, menurut laporan baharu itu, sambil menambah bahawa TB kemungkinan kembali menjadi pembunuh penyakit berjangkit teratas di dunia selepas digantikan oleh COVID-19 semasa pandemik. Jumlah kematian itu hampir dua kali ganda daripada jumlah orang yang terbunuh oleh HIV pada tahun 2023.
WHO menyatakan TB terus memberi kesan terutamanya kepada orang di Asia Tenggara, Afrika dan Pasifik Barat, India, Indonesia, China, Filipina dan Pakistan menyumbang lebih daripada separuh kes di seluruh dunia.
“Hakikat TB masih membunuh dan menyebabkan ramai orang sakit adalah satu perkara yang tidak boleh diterima, apabila kita mempunyai alat untuk mencegah, mengesan dan merawatnya,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu kenyataan.
Kematian TB terus menurun di seluruh dunia, dan bilangan orang yang baharu dijangkiti mula stabil. Agensi itu mencatatkan daripada 400,000 orang yang dianggarkan mempunyai TB tahan ubat tahun lepas, kurang daripada separuh telah didiagnosis dan dirawat.
TB disebabkan oleh bakteria yang tersebar melalui udara yang kebanyakannya menjejaskan paru-paru. Kira-kira satu perempat daripada populasi global dianggarkan mempunyai TB, tetapi hanya kira-kira 5 hingga 10 peratus daripada mereka mengalami gejala. – AP