KANSAFRA, 20 OGOS – Serangan rejim Syria mengorbankan lapan kanak-kanak dan seorang wanita di kubu terakhir pemberontak, Idlib dalam tempoh dua hari.
Badan Pemerhati Syria untuk Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di Britain berkata, serangan artileri pada awal pagi ini di sebuah kampung Kansafra di barat laut Idlib membunuh empat kanak-kanak dari keluarga yang sama.
Seorang wartawan AFP melihat seorang lelaki menangis melihat tiga mayat di sebuah tanah perkuburan, kemudian jenazah keempat dibawa dan dikuburkan dengan tergesa-gesa ketika tembakan bermula di kawasan berdekatan.
Sehari sebelumnya, di sebuah kampung di Balshun, serangan artileri oleh pasukan pro-Damsyik membunuh empat kanak-kanak dan seorang wanita.
Wilayah Idlib adalah tempat tinggal hampir tiga juta orang, di mana dua pertiga daripada mereka sudah berpindah sejak perang saudara selama sedekad.
Ia dikuasai oleh bekas sekutu Al-Qaeda Syria, tetapi juga terdapat pemberontak dan militan lain.
Presiden Syria, Bashar al-Assad mengangkat sumpah jawatan untuk penggal baharu bulan lalu, berjanji untuk membebaskan bahagian-bahagian negara itu yang masih belum bebas sepenuhnya. – AFP
