Monday, May 5, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    8 kesalahan dikesan di kedai makan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Lapan kesalahan dilakukan oleh majikan telah dikesan di kedai makan semasa Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh menjalankan Operasi Waspada 83/2025 di Kampung Jerudong pada 29 April lalu.

    Operasi tersebut bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Akta Pekerjaan, Penggal 278 dipatuhi oleh para majikan.

    Antara kesalahan di bawah Akta Pekerjaan, Penggal 278 yang dipercayai dilakukan oleh majikan, iaitu Bab 10, tiada menyediakan kontrak perkhidmatan secara bertulis; Bab 39, gagal membayar gaji kerja lebih masa; Bab 63, gagal memberikan cuti rehat; Bab 64, bekerja pada hari rehat; Bab 65, pekerja bekerja melebihi jam bekerja yang telah ditetapkan; Bab 70, gagal memberikan cuti pada Hari Kelepasan Awam yang diwartakan; Bab 71, gagal memberikan cuti tahunan; dan Bab 112(1), menggaji pekerja asing tanpa lesen daripada Pesuruhjaya Buruh yang mana majikan didapati menggaji pekerja asing jaminan syarikat lain.

    Siasatan lanjut akan dijalankan bagi kesalahan melanggar Akta Pekerjaan, Penggal 278, jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi tiap-tiap kesalahan.

    Jika gagal membayar denda kompaun berkenaan, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.

    Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Akta Pekerjaan, Penggal 278 seperti menyediakan kontrak perkhidmatan secara bertulis kepada pekerja-pekerja, membayar gaji kerja lebih masa, memberikan cuti rehat sehari dalam seminggu, memberikan cuti pada Hari Kelepasan Awam yang diwartakan dan tidak menggaji pekerja asing jaminan syarikat lain dan memberikan pekerjaan kepada pekerja-pekerja di bawah jaminan selaras dengan jawatan yang dibenarkan oleh Jabatan Buruh.

    Untuk maklumat lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 semasa waktu bekerja atau 7298989 di luar waktu bekerja.

    Operasi Waspada yang dijalankan di sebuah premis perniagaan di Kampung Jerudong. – GAMBAR SERAHAN JABATAN BURUH
    GAMBAR SERAHAN JABATAN BURUH

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda