Thursday, September 19, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    8 kesalahan majikan dikesan, 17 warga asing ditahan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Lapan kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan, 2009 didapati dilakukan oleh majikan dan 17 orang warga asing ditahan semasa Operasi Siaga Bersepadu yang disasarkan di perumahan pekerja-pekerja asing kawasan Kampung Subok, baru-baru ini.

    Operasi tersebut dikendalikan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh bersama Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Jabatan Perkhidmatan Elektrik dan Jabatan Perancang Bandar dan Desa bagi menguatkuasakan dan memastikan undang-undang serta peraturan dipatuhi oleh para majikan.

    Pemeriksaan sedang dijalankan oleh pegawai penguatkuasa semasa Operasi Siaga Bersepadu 2024 di Kampung Subok, baru-baru ini. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JABATAN BURUH

    Lapan kesalahan dilakukan oleh majikan itu yang didapati oleh Jabatan Buruh antaranya ialah Bab 63 gagal memberikan cuti rehat, Bab 64 bekerja pada hari rehat, Bab 80 gagal menyediakan tempat tinggal bersih yang mencukupi dan sempurna, dan Bab 81 tempat tinggal pekerja tidak menepati kehendak undang-undang.

    Selain itu, Bab 86 bertentangan dengan syarat-syarat Lesen Pekerja Asing, pekerja yang dijamin ditempatkan bukan di tempat yang diisytiharkan ke Jabatan Buruh dan dua kesalahan di bawah Bab 112(1) menggaji pekerja asing tanpa kebenaran bertulis daripada Pesuruhjaya Buruh iaitu majikan menggaji pekerja asing jaminan syarikat lain dan Lesen Pekerja Asing telah mansuh.

    Di samping itu, JIPK turut menahan seramai 17 orang warga Bangladesh kerana gagal mengemukakan dokumen yang sah untuk siasatan lanjut.

    Selain itu, Jabatan Elektrik telah mendapati penyambungan pendawaian di kawasan perumahan tersebut tidak teratur dan tidak selamat untuk digunakan.

    Bagi kesalahan melanggar Perintah Pekerjaan 2009, jika didapati, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi kesalahan tersebut, dan jika gagal membayar denda kompaun itu, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.

    Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan, 2009, seperti memberikan cuti rehat sehari dalam seminggu, menyediakan perumahan pekerja selaras dengan kehendak undang-undang dan pekerja-pekerja yang dijamin hendaklah bekerja di bawah syarikat sendiri dan tidak menyalahgunakan lesen, dan mematuhi peraturan dan undang-undang yang ada di negara ini.

     Untuk maklumat lebih lanjut, orang ramai bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 (semasa waktu bekerja) atau 7298989 (di luar waktu bekerja).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda