Thursday, September 19, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    8 kesalahan majikan dikesan Jabatan Buruh

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang (BPU), Jabatan Buruh telah mengesan lapan kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan, 2009 semasa menjalankan pemeriksaan ke atas kegiatan gerai menjual nasi katok di kawasan Kampung Anggerek Desa pada 7 September lalu.

    Pemeriksaan di bawah Operasi Siaga Bersepadu 2024 itu telah di-kendalikan bersama dengan BPU Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) bertujuan untuk sama-sama menguatkuasakan dan memastikan undang-undang serta peraturan dipatuhi oleh para majikan.

    Antara lapan kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan, 2009 yang dilakukan oleh majikan iaitu Bab 112(2) majikan melanggar kehendak Lesen Pekerja Asing, pekerja didapati melakukan pekerjaan tidak selaras dengan jawatan yang dibenarkan iaitu jawatan tukang masak menjual nasi katok, Bab 71 majikan gagal memberikan cuti tahunan berbayar, Bab 70 tidak memberikan cuti kelepasan awam yang diwartakan, Bab 65 memberikan pekerjaan melebihi masa yang ditentukan menurut undang-undang, Bab 64 bekerja pada hari rehat, Bab 63 tidak memberikan cuti rehat, Bab 39(2) majikan tidak membayar kerja lebih masa dan Bab 113A majikan gagal memberikan perlindungan Insurans perubatan kepada pekerja-pekerja.

    Bagi kesalahan melanggar Perintah Pekerjaan 2009, jika didapati, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi kesalahan tersebut.

    Jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.

    Sehubungan itu, Jabatan Buruh mengingatkan kepada majikan-maji-kan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras de-ngan kehendak Perintah Pekerjaan, 2009, seperti mengarahkan pekerja-pekerja melakukan pekerjaan selaras dengan jawatan yang dibenarkan menurut lesen, pekerja hendaklah diberikan cuti tahunan berbayar tidak kurang dari tujuh hari dalam setahun, cuti awam yang diwartakan hendaklah diberikan kepada pekerja-pekerja dan hendaklah diberikan cuti rehat sehari dalam mana-mana hari dalam seminggu.

    Pegawai penguat kuasa semasa menjalankan pemeriksaan ke atas kegiatan gerai menjual nasi katok di kawasan Kampung Anggerek Desa baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN JABATAN BURUH
    GAMBAR SERAHAN JABATAN BURUH

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda