Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    8 marin AS dirawat di hospital

    DARWIN, 28 OGOS – Lapan anggota marin Amerika Syarikat (AS) dirawat di hospital hari ini susulan nahas pesawat tentera di utara Australia.

    Nahas tersebut telah mengorbankan tiga orang manakala seorang lagi dirawat di unit rawatan rapi.

    Seramai 23 anggota marin menaiki pesawat Boeing MV-22B Osprey apabila ia terhempas di Pulau Melville, utara Darwin, pada pagi Ahad semasa latihan ketenteraan untuk tentera tempatan.

    Ketua Menteri Wilayah Utara (NT), Natasha Fyles berkata lapan anggota marin masih menerima rawatan dan dia mahu ‘memastikan keluarga mereka mendapat penjagaan yang terbaik dan kami sedang berusaha untuk memastikan mereka mendapat sokongan’.

    Pihak berkuasa telah melancarkan siasatan mencari punca nahas dan usaha untuk mendapatkan kembali mayat tiga marin yang maut sedang dijalankan.

    Seorang wanita menunggang basikal dekat Hospital Diraja Darwin pada 28 Ogos. – AFP

    Pesuruhjaya Polis NT, Michael Murphy memberitahu pemberita siasatan di lokasi nahas mungkin mengambil masa sekitar 10 hari.

    Sebelum ini, beliau memberitahu media tempatan yang pesawat itu terhempas di ‘hutan belukar tebal’ tetapi petugas kecemasan membantu dalam usaha awal mereka dekat lokasi landasan udara berhampiran.

    Dapat mendarat begitu dekat dengan lokasi nahas telah membolehkan mangsa dirawat dengan lebih cepat dan ‘mungkin menyelamatkan beberapa nyawa’, katanya.

    Siaran kawalan trafik udara dari lapangan terbang Darwin selepas insiden itu termasuk komunikasi dari tapak telah menggambarkan asap hitam dan ‘kebakaran’ namun Murphy berkata dia tidak boleh mengulas mengapa Osprey itu terhempas.

    ‘Predators Run’ iaitu latihan yang disertai oleh anggota marin telah ditangguhkan pada Ahad, tetapi seorang pegawai pertahanan Australia memberitahu AFP bahawa ia telah disambung semula pada pagi ini. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda