Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    8 maut, ribuan terperangkap dalam banjir di Vietnam

    HANOI, 8 OKT – Banjir besar telah menenggelamkan jalan raya di beberapa buah wilayah di Vietnam hari ini, dengan lapan orang terbunuh minggu ini, kata kerajaan.

    Berpuluh-puluh ribu lagi terperangkap di rumah atau berpindah bagi mengelakkan banjir yang mencecah paras bumbung kereta dan atap rumah di kawasan bandar Thai Nguyen, kira-kira 80 kilometer di utara ibu kota Hanoi.

    Kementerian Alam Sekitar berkata lapan orang terbunuh dalam banjir kilat dan tanah runtuh di utara pergunungan Vietnam sejak Isnin lalu dan lima lagi hilang.

    Pagi tadi, Jabatan Kaji Cuaca berkata paras sungai Cau di bandar Thai Nguyen, mencecah satu meter lebih tinggi daripada paras rekod sebelumnya iaitu 28.81 meter, ketika Taufan Yagi membadai negara itu pada September tahun lalu.

    Sejak kelmarin hingga hari ini, pengguna media sosial menyiarkan rayuan untuk mendapatkan bantuan kerana saudara-mara dan rakan mereka terperangkap tanpa bekalan elektrik di wilayah Thai Nguyen, Cao Bang dan Lang Son.

    “Tingkat bawah rumah kami (di wilayah Thai Nguyen) banjir sama sekali. Ibu bapa dan lima anak saya masih terperangkap, tanpa makanan dan air mencukupi. Tiada komunikasi sejak kelmarin. Mereka memerlukan bantuan segera,” tulis Thoan Vu.

    Tentera berkata ia telah menggerakkan 30,000 anggota dan beribu-ribu bot untuk menyertai usaha menyelamat dan bantuan. – AFP

    Pasukan penyelamat di atas bot bergerak di sepanjang jalan yang dinaiki air selepas hujan lebat di bandar Thai Nguyen kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda