COLOMBO, 30 NOV – Insiden tembakan senjata di penjara tempat banduan merusuh berhubung jangkitan tinggi koronavirus telah mengakibatkan lapan maut manakala 55 lagi cedera, kata polis.
Ratusan polis mengepung penjara Mahara di luar bandar Colombo ketika pengawal penjara berusaha untuk menamatkan kekacauan.
Banduan-banduan bertarung dengan para pengawal kelmarin dan sehingga malamnya selepas membakar dapur dan menawan dua wadar, kata penghuni dan polis.
“Dua pegawai telah diselamatkan dan dimasukkan ke hospital. Situasi dapat dikawal.” kata jurucakap polis, Ajith Rohana.
Seramai 600 pegawai termasuk 200 polis komando telah dikerahkan sekitar kawasan tersebut, tambahnya.
Mayat lapan banduan telah dibawa ke hospital berhampiran Ragama, kata sumber perubatan. Sementara 55 lagi banduan cedera, beberapa daripadanya dalam keadaan kritikal telah dimasukkan ke hospital malam semalam.
Banduan keluar mengamuk dari sel mereka untuk membantah berhubung peningkatan jangkitan koronavirus, kata para pegawai. – AFP