KAMPALA, 19 FEB – Lapan pesakit yang menerima rawatan untuk Ebola di Uganda telah pulih, kata Menteri Kesihatan negara itu pada Rabu, mengisytiharkan wabak penyakit maut itu kini sudah ‘terkawal.’
“Lapan orang tersebut telah menjalani rawatan dan telah pulih sepenuhnya,” beritahu Jane Ruth Aceng kepada AFP.
Beliau berkata pesakit-pesakit berkenaan telah dibenarkan keluar dari hospital di Kampala pada Selasa dan Rabu.
Uganda telah mengesahkan sembilan kes keseluruhan dalam wabak terbaharu, termasuk seorang jururawat yang meninggal dunia akibat penyakit itu di ibu negara Kampala pada bulan Januari.
Aceng berkata 265 orang lain masih ‘dikuarantin untuk pemantauan’ selepas bersentuhan dengan pesakit yang meninggal dunia.
“Buat masa ini, penyebaran Ebola berjaya dibendung sebagai sebahagian daripada mekanisme kukuh kerajaan Uganda untuk mengawal penyebaran penyakit bersama-sama agensi antarabangsa,” tambahnya.
Ini adalah kali keenam negara di Afrika Timur itu dilanda spesies virus Ebola Sudan, yang setakat ini tidak ada vaksin yang diluluskan.
Wabak Ebola sebelum ini berlangsung selama empat bulan pada tahun 2022 dan 2023 serta meragut 55 nyawa.
Wabak Ebola paling maut berlaku di Afrika Barat antara tahun 2013 dan 2016, yang mengorbankan lebih daripada 11,300 orang, menurut anggaran WHO. – AFP
