BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Bagi membuka ruang potensi di antara cendekiawan dan ahli pakar syariah, selaras dengan perancangannya untuk menyumbang kepada pembangunan kepakaran Kewangan Islam, Pusat Perbankan, Kewangan dan Pengurusan Islam (CIBFM), dengan soko-ngan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), baru-baru ini telah menganjurkan upacara pengijazahan bagi Program Fiqh Muamalat Profesional (FMPP) kohort ke-3 di Indera Samudera Grand Hall 1, The Empire Hotel & Country Club, Brunei Darussalam.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya berkesudian menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta program ialah Pemangku Pengarah Urusan AMBD, Dato Seri Setia Haji Metussin bin Haji Baki.
Acara tersebut dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Penolong Pengarah Urusan AMBD, selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif CIBFM, Hajah Sufinah binti Haji Sahat, dituruti dengan ucapan pembukaan oleh Dato Seri Setia Haji Metussin.
Lapan graduan telah me-nerima sijil bagi FMPP di majlis tersebut iaitu, Dayang Noor Hidayah binti Mutalip, Dayang Syafiiqah Aamirah binti Awang Mohammad Abdoh, Dayang Bibi Amadah binti Haji Rusli, Dayang Nabilah binti Haji Abdul Rahim, Awang Mohammad Afif bin Dato Seri Setia Dr Haji Japar, Haji Roslan bin Haji Alli, Hajah Noraini binti Haji Buntar dan Awang Mohammad Hazame bin Haji Zainal.
Konvokesyen tersebut turut dihadiri oleh ahli-ahli Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Jabatan Mufti Kerajaan, AMBD, Darussalam Enterprise (DARe), Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn Bhd, Maybank, RHB dan Bank United Overseas (UOB).
Pada masa ini, CIBFM telah berjaya menghasilkan 34 orang graduan bagi FMPP sejak pertama kalinya program tersebut dilaksanakan pada tahun 2011.
