Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPTEMBER – Sebanyak sembilan kompaun telah dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi kepada lapan buah premis perniagaan kerana gagal patuhi Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya, di sepanjang bulan Ogos 2023.
Pemeriksaan rutin harian yang dijalankan oleh JPES serta beberapa operasi bersepadu di antara JPES dan agensi-agensi penguatkuasa lain masing-masing bertempat di Daerah Belait dan Daerah Temburong di sepanjang bulan Ogos 2023 telah mendapati lapan buah premis perniagaan melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya.
Enam buah premis perniagaan telah melakukan kesalahan Bab 3B: Melebihi harga dan bayaran maksimum yang ditetapkan oleh Pengawal Harga, dan masing-masing dikenakan denda kompaun $500 dan $700.
Manakala tiga buah premis perniagaan telah melakukan kesalahan Bab 5: Tidak mempamerkan harga pada mana-mana barangan atau jenis barangan, dan telah dikenakan kompaun sebanyak $500.
Di samping itu, sebanyak lapan Notis Amaran telah dikeluarkan kepada lapan buah premis perniagaan dalam bulan Ogos 2023 atas kesalahan-kesalahan seperti menjual minyak masak, susu tepung formula anak damit dan barangan bersubsidi iaitu beras dan gula melebihi harga maksimum dan gagal mempamerkan tanda harga bagi sebahagian barangan yang dijual di dalam premis perniagaan.
Para peniaga perlu sentiasa menjalankan perniagaan secara beretika dengan mematuhi perundangan-perundangan yang sedia ada termasuk Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya iaitu tidak menjual barangan yang dikawal harga seperti minyak masak dan susu tepung formula anak damit melebihi harga maksimum yang ditetapkan dan sentiasa mempamerkan tanda harga pada barangan yang dijual secara jelas dan tepat.
Para peniaga yang gagal mematuhi Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya boleh dikenakan denda maksimum sebanyak $20,000.00 dan penjara selama lima tahun bagi kesalahan yang berulang.
Maklumat lanjut mengenai Akta Kawalan Harga, Penggal 142 boleh diperolehi melalui aplikasi mudah alih PenggunaBijak dan laman sesawang JPES di www.deps.mofe.gov.bn.
Manakala, sebarang aduan pengguna boleh dilaporkan melalui saluran-saluran rasmi iaitu Talian Darussalam 123; aplikasi mudah alih PenggunaBijak; dan emel aduanpengguna@jpes.gov.bn dengan menyertakan dokumen sokongan seperti resit pembayaran dan gambar sebagai bukti.