KAHERAH, 8 Sept – Lapan rakyat Mesir serta sembilan warga Malaysia diselamatkan Tentera Laut Mesir selepas motobot dinaiki mereka mengalami kerosakan dan hampir tenggelam akibat cuaca buruk, di utara pantai Laut Merah, lapor agensi berita China Xinhua.
Jurucakap Tentera Mesir Tamer al-Refaay berkata dalam satu kenyataan, anggota tentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.
Beliau berkata, motobot pelancong itu rosak di 35 batu nautika tenggara pulau Safaga di Laut Merah, 17 mangsa termasuk warga Mesir dan Malaysia berjaya diselamatkan.
“Operasi mencari seorang lagi warga Mesir yang hilang masih diteruskan,” kata jurucakap itu.
Beliau menambah mangsa yang diselamatkan dibawa ke pangkalan tentera di Laut Merah untuk menerima rawatan. – Bernama