DAKAR, 16 Julai – Lapan orang telah terkorban di final Piala Liga Bola Sepak Senegal di Dakar semalam, umum menteri sukan, apabila satu dinding roboh ke atas para penyokong sehingga mencetuskan insiden berhimpit.
Menteri Sukan, Matar Ba, berkata seorang kanak-kanak perempuan adalah antara yang terkorban, sementara sekitar 60 orang penyokong yang cedera telah dibawa ke pusat-pusat kesihatan di Dakar.
Dia berikrar ‘beberapa tindakan tegas bahawa kejadian sebegitu tidak akan berulang lagi di Senegal,” ketika bercakap kepada AFP melalui telefon.
Kerahan besar-besaran pasukan bomba dan ambulan masih berada di tempat kejadian lewat semalam.
Seorang wartawan AFP yang menghadiri perlawanan itu menjelaskan stadium dipenuhi penyokong kerana ia adalah pertembungan yang sudah lama dinantikan antara dua pasukan setempat, US Ouakam dan Stade de Mbour.

Ketika keputusan 2-1 di masa tambahan, para penyokong US Ouakam mula melontarkan batu ke arah penyokong Stade de Mbour, menyebabkan mereka mula meninggalkan tempat duduk mereka dengan segera, menurut wartawan itu.
Sebahagian daripada dinding di bawah tempat duduk mula roboh, sementara polis mula menembak gas pemedih mata dan memburukkan lagi situasi panik di stadium itu sehingga membawa kepada insiden berhimpit. Seorang penyokong di tempat kejadian berkata bahawa jumlah anggota keselamatan di stadium itu tidak mencukupi.
“Apa yang saya dapati teruk adalah kami mempunyai final di stadium ini di mana tidak terdapat anggota keselamatan yang tidak mencukupi,” katanya – AFP