Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MAC – Seramai 80 bekas penuntut telah menghadiri Majlis Khatam Al-Quran dan Bacaan Tahlil sempena Perjumpaan 50 tahun Persahabatan Penuntut Tingkatan 4, Tahun 1975 Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien di Masjid Ash-Shaliheen (SOAS) baru-baru ini.
Majlis juga diselajurkan dengan bacaan tahlil yang dikhususkan kepada Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Saadul Khairi Waddin, guru-guru, warga kerja dan rakan-rakan yang telah kembali ke rahmatullah.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis adalah Mantan Pengetua Maktab SOAS Tahun 1975, Dato Paduka Haji Mohammad Alimin bin Haji Abdul Wahab.
Di majlis itu, Dato Paduka Haji Mohammad Alimin menyatakan rasa syukur dan berdoa agar persaudaraan dan ikatan ukhuwah penuntut-penuntut kekal hingga ke akhir hayat dan mendoakan diberkati dengan kesihatan, kesejahteraan, kemakmuran dan kesentosaan sepanjang umur dengan amalan baik yang berterusan.
Majlis berkenaan adalah merupakan salah satu aktiviti sempena Sambutan Jubli Emas Persahabatan Penuntut-penuntut Tingkatan Empat Tahun 1975 Maktab SOAS.
Bekas penuntut-penuntut lelaki juga telah mengadakan Majlis Bacaan Surah Yassin dan Tahlil di Makam Diraja bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim pada 19 Mac lalu.
Bacaan Surah Yasin dan Tahlil khusus kepada Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien adalah sebagai rasa menjunjung kasih kepada pengasas Maktab Sultan Omar ‘Ali Saiffudien.