Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Program Siri Tadabbur Al-Quran 8.0 bagi minggu terakhir Ramadan dan Program Sumbangan UNISSA telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan seramai 80 orang yang berlangsung di Dewan Persidangan,P Pusat Dakwah Islamiah (PDI) kelmarin.
Program berkenaan kelolaan Badan Sukarelawan Belia Daie dengan kerjasama mahasiswa Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dari Fakulti Undang-undang Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan sokongan PDI telah disertai mahasiswa-mahasiswi UNISSA, kalangan para asatizah, pegawai kerajaan, pesara, belia termasuk dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO), alumni Akademi Dakwah serta orang awam.

Menghadiri program berkenaan ialah Penolong Pengarah PDI serta Dekan dan Timbalan Dekan Fakulti Undang-undang Sultan Haji Hassanal Bolkiah, UNISSA, Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman.
Pengisian program dengan tajuk Jalan Hati, Temui Allah memetik pengajaran dari Surah Al-Baqarah Ayat 45 oleh Ustaz Dr Muhammad Yadiy bin Haji Mat Yassin yang menekankan kepentingan meminta pertolongan kepada Allah melalui sabar dan solat.

Beliau mengupas tentang kepentingan solat yang khusyuk serta bagaimana solat diterapkan dalam kehidupan melalui tadabbur, refleksi, muhasabah, dan doa. Selain itu, konsep sabar menurut Imam Al-Ghazali turut dibincangkan.
Program juga diisi dengan segmen sesi Quiz secara dalam talian kelolaan Ahli Jawatankuasa Belia Daie.
Setelah selesai program tadabbur, Program Sumbangan UNISSA bersempena bulan Ramadan anjuran Fakulti Undang-undang Sultan Haji Hassanal Bolkiah pula diadakan dengan penyampaian sumbangan oleh Penolong Pengarah PDI kepada 25 buah keluarga mualaf.

Program Siri Tadabbur Al-Qur’an 8.0 ini diungkayahkan sebagai salah satu usaha para belia dalam menjalankan amar makruf di Negara Brunei Darussalam agar dapat melahirkan lebih ramai masyarakat yang cintakan Al-Quran.
