Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG, 2 MAC – Dengan hasrat untuk mewujudkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat khususnya golongan ibu bapa mahu pun penjaga kepada anak-anak, Shahney Event Management dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, cawangan Daerah Tutong buat julung kalinya menganjurkan Funtastic Kids Wheels, Run and Walk di Kompleks Sukan Tutong, baru-baru ini.
Acara diadakan bagi menyemarakkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-37 itu telah disertai oleh seramai 80 kanak-kanak berumur antara satu hingga 13 tahun.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi melancarkan pelepasan peserta semua kategori ialah Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dayang Mariam binti Ulat yang juga menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang.
Terdahulu, acara telah dimulakan dengan sesi memanaskan badan sebelum pelepasan peserta dalam tiga kategori, Super Hero Kids on Wheels yang menggunakan alat beroda dan Star Kids iaitu acara berjalan kaki, kedua-duanya sejauh 1.2 kilometer, manakala itu kategori Warrior Kids pula ialah acara cabaran larian sejauh 1.8 kilometer bagi peserta yang berumur 10 hingga 13 tahun.
Semasa ditemui, Pengurus Shahney Event Management, Awang Mohd Shahrol Redhwan bin Haji Mohd Yussof selaku penganjur bersama, telah mengongsikan bahawa acara berkenaan bertujuan untuk membuka minda dan jiwa serta semangat dalam melakukan pelbagai aktiviti sukan dalam hidup berkeluarga dan juga bermasyarakat.
Menurutnya, acara berkenaan turut disokong oleh Daerah Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Kumpulan Tutong Runners T2R2, Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam (PBSM) cawangan Daerah Tutong dan para penaja serta ahli-ahli jawatankuasa penyelenggaraan berdasarkan panduan SOP COVID-19.
