Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    80 kanak-kanak terima sumbangan

    Oleh Sim Y. H.

    Gambar oleh Muiz Matdani

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jan – Keceriaan jelas terpancar di wajah para pelajar terdiri daripada kalangan anak-anak yatim dan anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Panchor Mengkubau apabila menerima sumbangan peralatan sekolah daripada Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), hari ini.

    Seramai 80 orang yang kurang bernasib baik menerima sumbangan berkenaan dalam majlis yang berlangsung di kediaman Ketua Biro Kemasyarakatan dan Perhubungan, Majlis Perundingan Kampung (MPK) RPN Panchor Mengkubau.

    Hadir untuk menyempurnakan penyampaian sumbangan daripada TAIB ialah Pemangku Pengarah Urusan Perbadanan TAIB, Hajah Noorrafidah binti Sulaiman dan Pemangku Ketua Perbankan Runcit Perbadanan TAIB, Haji Kalong bin Haji Hussin.

    Turut hadir di majlis berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman, ahli-ahli MPK RPN Panchor Mengkubau, para ibu bapa serta para pelajar yang menerima sumbangan di majlis berkenaan.

    Di majlis berkenaan, sumbangan kepada pelajar perempuan telah disampaikan oleh Hajah Noorrafidah manakala sumbangan kepada pelajar lelaki disampaikan oleh Haji Kalong.

    Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bersama para jemputan hadir di majlis penyerahan sumbangan berkenaan.
    Hajah Noorrafidah ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak-anak yatim dan anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan di RPN Panchor Mengkubau.
    Haji Kalong ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak-anak yatim dan anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan di RPN Panchor Mengkubau.

    Sumbangan peralatan sekolah daripada Perbadanan TAIB itu adalah sebagai sokongan kepada Projek Drop Box – Kempen Kembali Ke Sekolah yang diselenggarakan oleh Biro Wanita, MPK RPN Panchor Mengkubau.

    Projek tersebut antara lain bertujuan untuk membantu meringankan beban golongan yang memerlukan yang terdiri daripada anak-anak yatim dan anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan yang menetap di RPN Panchor Mengkubau.

    Sejak projek itu dilancarkan pada tahun 2016, ramai pihak yang terdiri daripada firma-firma kewangan, pertubuhan dan persatuan bukan kerajaan telah dan terus menerus tampil menghulurkan sumbangan berupa peralatan sekolah seperti, buku latihan, pensel, pen, pemadam, pembaris, pengasah pensel, beg sekolah, uniform sekolah pelajar lelaki (baju, seluar dan songkok), uniform sekolah pelajar perempuan (baju kurung, kain dan tudung), uniform sekolah agama pelajar lelaki (baju Melayu, sinjang dan songkok) dan uniform sekolah agama pelajar perempuan.

    Sehubungan dengan itu, ahli Jawatankuasa Tertinggi dan Komiti MPK RPN Panchor Mengkubau sukacita merakamkan ucapan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perbadanan TAIB serta para dermawan yang prihatin terhadap golongan yang kurang bernasib baik terutama para pelajar daripada kalangan anak-anak yatim dan anak-anak daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

    Dengan adanya sumbangan itu, ia diharap dapat memberikan dorongan serta membakar semangat para pelajar daripada kalangan anak-anak yatim dan keluarga kurang berkemampuan agar dapat mencapai kecemerlangan dalam bidang pelajaran.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda