KABUL, 31 Mei – Sekurang-kurangnya 80 orang terbunuh manakala beratus yang lain cedera apabila bom yang dimuat dalam trak meletup serta memusnahkan sebahagian kawasan diplomatik di Kabul, menjejaskan kesibukan pagi dan membawa pembunuhan beramai-ramai di jalan-jalan raya bandar Afghan.
Mayat-mayat berselerak di tempat kejadian dan asap menjulang tinggi dari kawasan itu yang menempatkan kedutaan-kedutaan asing, selepas letupan memecahkan tingkap di beberapa misi dan kediaman yang terletak beberapa ratus meter jauhnya.
Saksi-saksi menggambarkan berpuluh buah kereta memenuhi jalan raya ketika mangsa-mangsa yang tercedera dan murid-murid sekolah perempuan yang kepanikan mencari tempat selamat, dengan para lelaki dan wanita dalam kepayahan cuba memasuki tempat pemeriksaan untuk mencari insan kesayangan mereka.
Tidak segera jelas apakah sasaran serangan. Namun serangan itu memperlihatkan keadaan tidak selamat di Afghanistan, yang mana pihak ketenteraan berdepan kematian dan kecederaan yang meningkat dan dilanda masalah kekurangan anggota tentera untuk mengatasi pihak pemberontak. Lebih sepertiga negara itu di luar kawalan kerajaan.
Beberapa sejam selepas letupan, kereta ambulans masih membawa mereka yang tercedera ke hospital ketika pasukan penyelamat menggali runtuhan mencari mayat-mayat mangsa yang terkorban manakala para anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran di beberapa buah bangunan.

Jurucakap kementerian kesihatan Waheed Majroh berkata angka kematian telah meningkat kepada 80 orang manakala 320 orang lagi cedera, dengan bilangan itu disahkan oleh pegawai kedua kesihatan dan pejabat media kerajaan.
Pihak berkuasa memberi amaran angka itu mungkin meningkat. “Mereka masih membawa mayat-mayat dan mangsa-mangsa tercedera ke hospital,” jurucakap kedua kementerian kesihatan, Ismael Kawoosi memberitahu AFP.
Kementerian dalam negeri menyeru penduduk-penduduk Kabul supaya menderma darah, dengan mengatakan pihak hospital “amat memerlukannya.”
Tidak ada pihak yang segera mengaku bertanggungjawab di atas serangan itu, tetapi serangan itu berlaku ketika Taliban yang bangkit semula meningkatkan “serangan tahunan musim bunga.”
Kumpulan IS juga mengaku bertanggungjawab melancarkan beberapa pengeboman baru-baru ini di bandar Afghanistan, termasuklah letupan kuat yang mensasarkan konvoi berperisai NATO yang mengorbankan kira-kira lapan orang dan mencederakan 28 orang pada 3 Mei lalu. – AFP