Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    80 pegawai dan kakitangan JMM hadiri taklimat CBDRM

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 NOV – Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri mengadakan Taklimat CBDRM (Community-Based Disaster Risk Management) bersama Pegawai dan Kakitangan Jabatan Muzium-Muzium (JMM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang berlangsung di Dewan Arkib Negara, Jalan Dewan Majlis, Bandar Seri Begawan, kelmarin.

    Sesi taklimat berkenaan dihadiri oleh seramai kira-kira 80 orang pegawai dan kakitangan JMM di mana taklimat berkenaan merupakan sebahagian dari inisiatif berterusan NDMC dalam memupuk kesedaran awam dan meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat terhadap bencana dengan membarigakan mengenai Program CBDRM melalui taklimat ke agensi-agensi kerajaan mahupun bukan kerajaan di negara ini.

    Turut hadir memberikan sokongan bagi menyelaras Taklimat CBDRM berkenaan ialah Ahli DPC (Disaster Preparedness Coordinator) yang telah diiktiraf oleh NDMC sejak 2019, yang sentiasa bersedia membantu NDMC dalam melaksanakan apa jua inisiatif atau Program Pengurangan Risiko Bencana (DRR), khususnya Program CBDRM.

    Taklimat dimulakan dengan tayangan video pendek mengenai kesan pelbagai kejadian bencana yang telah melanda hampir seluruh dunia pada 2023 diikuti dengan pemberigaan mengenai matlamat Taklimat CBDRM sebelum menjelaskan dengan lebih lanjut tentang Program CBDRM yang telah dilaksanakan sejak 2010.

    Menerusi taklimat itu juga dijelaskan hubungan Program CBDRM dengan peranan masyarakat di negara ini termasuk para pegawai dan kakitangan yang bertugas di agensi-agensi kerajaan, dalam Pengurangan Risiko Bencana (DRR) serta langkah-langkah persediaan awal yang boleh dilaksanakan dengan mengambil tindakan yang betul dan selamat.

    Bagi meningkatkan pemahaman para peserta, taklimat diteruskan dengan aktiviti praktikal secara interaktif iaitu Aktiviti Penyediaan Beg Kecemasan, para peserta dibahagikan kepada 4 kumpulan untuk mengenal pasti keperluan asas atau barang penting dan utama yang perlu disediakan dalam beg kecemasan sekiranya berlaku sebarang kejadian bencana lalu membentangkan hasil tugasan yang diberikan secara berkumpulan.

    Aktiviti itu bukan sahaja menggalakkan kerjasama dalam kumpulan malah memberi peluang kepada para peserta untuk menilai tahap kesiapsiagaan masing-masing.

    Melalui taklimat ini, NDMC berharap dapat memupuk budaya kesiapsiagaan bencana di kalangan penjawat awam, khususnya para pegawai dan kakitangan JMM serta memperkukuh kerjasama strategik antara agensi kerajaan dalam mempertingkatkan keupayaan negara mengurus bencana terutama bagi mengurangkan risiko bencana.

    Selain itu, melalui taklimat berkenaan juga diharapkan dapat menggalakkan penglibatan aktif masyarakat Brunei dalam menyertai Program CBDRM yang dilaksanakan di negara ini pada setiap tahun ke arah membina masyarakat yang berdaya tahan bencana.

    Pegawai NDMC dan DPC bergambar-ramai dengan pegawai dan kakitangan JMM yang menyertai sesi taklimat CBDRM berkenaan.
    Sesi taklimat yang diadakan bagi pegawai dan kakitangan Jabatan Muzium-Muzium, kelmarin.
    GAMBAR – GAMBAR SERAHAN DPC

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda