Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Seramai 80 orang penjawat awam daripada jabatan-jabatan di bawah Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) telah menghadiri taklimat bertajuk ‘Penipuan Dalam Talian’ yang berlangsung di Institut Perkhidmatan Awam, Kampung Rimba, baru-baru ini.
Taklimat telah disampaikan oleh Ketua Inspektor Adinin bin Haji Ahmad dari Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).
Taklimat berkenaan merupakan salah satu sesi dalam Program Induksi Perkhidmatan Awam yang antara lain mengongsikan pelbagai kaedah untuk mengenal pasti serta menangani jenayah penipuan dalam talian yang semakin berleluasa pada masa ini.


PPDB dalam kenyataannya telah mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran yang mencurigakan, terutama yang menjanjikan keuntungan tinggi atau pulangan yang luar biasa.
Selain menegaskan komitmen berterusan pihaknya dalam melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk taklimat dan tindakan penguatkuasaan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat serta membanteras jenayah penipuan dalam talian di negara ini.
Sehubungan itu, orang ramai yang berhadapan dengan sebarang tawaran mencurigakan dinasihatkan untuk segera melaporkannya kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

