Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Sektor swasta Eropah mempunyai pandangan yang optimistik mengenai prospek ekonomi dan pembangunan bagi ASEAN di mana kira-kira 80 peratus responden percaya pasaran ASEAN akan menjadi lebih penting dari segi pendapatan serata dunia dalam tempoh dua tahun mendatang.
Ini menunjukkan perkembangan signifikan rantau berkenaan dalam ekonomi global iaitu peningkatan sebanyak 15 peratus daripada 2022.
Pandangan optimistik itu diperoleh menerusi Kajian Sentimen Perniagaan (BSS) EU-ASEAN ke-9 yang dikeluarkan oleh Majlis Perniagaan EU-ASEAN, di sini.
Kajian itu telah menerima maklum balas 600 responden dari sektor swasta Eropah yang menyediakan pandangan bernilai terhadap harapan dan sentimen perniagaan-perniagaan Eropah yang berope-rasi di rantau ASEAN.
Kajian juga menunjukkan sebahagian besar responden iaitu 84 peratus menyatakan hasrat mereka untuk meningkatkan tahap pelaburan dan perdagangan dalam ASEAN, meningkat sebanyak 7 peratus daripada 2022.
Hasil dapatan kajian signifikan lain yang diketengahkan adalah sebanyak 65 peratus menjangka peningkatan keuntungan dalam ASEAN bagi 2023 yang menunjukkan terdapat trend positif berterusan dalam landskap perniagaan rantau berkenaan.
Kajian turut mendedahkan kira-kira dua pertiga daripada responden berpandangan ASEAN sebagai rantau bagi peluang ekonomi terbaik dalam tempoh lima tahun mendatang yang mencerminkan perspektif konsisten berbanding tahun sebelumnya.
Sentimen positif perniagaan Eropah di ASEAN bahawa rantau ini akan memainkan peranan lebih signifikan dalam aliran pendapatan global yang menekankan kepentingan strategik akan mengukuhkan hubungan antara ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU).
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P4-3-web-Freepik_02082023.jpg)