Tuesday, March 18, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    80% perkhidmatan kesihatan Afghanistan berisiko tutup – WHO

    KABUL, 17 MAC – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata hari ini bahawa 80 peratus perkhidmatan yang disokongnya di Afghanistan mungkin akan dihentikan menjelang Jun disebabkan kekurangan dana.

    Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu berkata kekurangan kewangan tersebut, yang berlaku di tengah-tengah sekatan bantuan besar-besaran dari Amerika Syarikat (AS), berkait dengan perubahan dalam ‘keutamaan bantuan pembangunan’.

    “Tanpa campur tangan segera, lebih daripada 220 kemudahan lagi mungkin ditutup menjelang Jun 2025, meninggalkan 1.8 juta rakyat Afghanistan tanpa akses kepada penjagaan kesihatan primer,” kata WHO dalam satu kenyataan.

    Agensi itu menyatakan bahawa 167 operasi sedemikian telah pun ditutup kerana kekurangan sokongan kewangan.

    “Akibatnya akan diukur melalui nyawa yang hilang,” kata Ketua WHO Afghanistan, Edwin Ceniza Salvador.

    “Ini bukan hanya tentang dana. Ini adalah kecemasan kemanusiaan yang mengancam untuk membatalkan bertahun-tahun kemajuan dalam memperkukuh sistem kesihatan Afghanistan,” tambah Salvador.

    WHO telah memberi amaran sejak Presiden AS Donald Trump menandatangani perintah eksekutif menarik AS keluar dari agensi tersebut.

    Penarikan diri itu dan berakhirnya sumbangan Washington membahayakan rangkaian pemantauan campak global, yang sehingga kini dibiayai sepenuhnya oleh Washington. – AFP

    Wanita Afghanistan yang memakai burqa berbaris untuk menerima hidangan iftar percuma semasa bulan puasa Ramadan yang mulia, di pinggir Kabul pada 12 Mac. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda