Sabtu, 22 November 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    80 peserta tamat BST terima sijil

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Seramai 80 peserta terdiri daripada pemilik dan krew kapal penangkapan ikan tempatan serta pegawai dan kakitangan Jabatan Perikanan telah berjaya menamatkan Latihan Asas Keselamatan (BST) yang berlangsung selama enam hari, bermula 11 hingga 18 Jun lalu.

    Sehubungan itu, majlis penyampaian sijil bagi para peserta telah berlangsung pada hari terakhir latihan.

    Hadir bagi menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta ialah Pemangku Pengarah Perikanan, Hajah Wanidawati binti Haji Tamat, selaku tetamu kehormat.

    Latihan tersebut dianjurkan oleh Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dan diadakan di Dewan Nur Huda, Jabatan Perikanan, serta di Jeti Kompleks Pendaratan Ikan, Muara, dengan dikendalikan oleh dua orang tenaga pengajar dari Syarikat Goldenaire.

    Objektif utama latihan itu adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran keselamatan para peserta, khususnya kapten dan juruteknik kapal penangkapan ikan tempatan, dalam aspek keselamatan di atas kapal semasa operasi menangkap ikan.

    Antara sesi latihan yang dianjurkan baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN KSSUP
    Gambar ramai peserta pada majlis penyampaian sijil pada hari terakhir latihan. – GAMBAR SERAHAN KSSUP

    Latihan meliputi pemantauan peralatan dan sistem navigasi, pengendalian bilik jentera dan pemanduan kapal yang selamat, melalui gabungan sesi teori dan praktikal.

    Selain itu, peserta yang mengikuti latihan ini turut menerima sijil pengiktirafan BST, yang menjadi salah satu keperluan minimum bagi mendapatkan pengesahan seaworthiness atau kelayakan belayar untuk kapal penangkapan ikan tempatan.

    Dalam memastikan pematuhan syarat lesen menangkap ikan menggunakan kapal, peserta juga diberi penekanan tentang keperluan peralatan keselamatan di atas kapal yang mesti sentiasa berada dalam keadaan baik dan berfungsi.

    Latihan seumpama itu diharap dapat meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan dalam kalangan pengusaha perikanan negara terhadap aspek keselamatan maritim, seiring usaha kerajaan dalam memperkasa sektor perikanan yang berdaya tahan dan berwibawa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda