Tuesday, May 13, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    80 sertai acara DGR

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Lebih 80 orang penunggang motosikal telah menyertai acara Distinguish Gentlemen Ride (DGR) Brunei yang bermula di Ibu Pejabat Progresif, Gadong dan berakhir di ibu negara.

    Acara seumpamanya juga diadakan di seluruh dunia yang melibatkan 650 buah bandar dan lebih dari 120,000 penunggang motosikal.

    DGR Brunei pada tahun ini telah dikendalikan oleh RecyclesMC dengan tajaan Progresif Cellular, Samo Furniture, Restoran iLotus, Dart Brunei, Chaps n Rebels, Sean Speed Shop, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Arkitek Watches dan rakan kongsi acara, Big BWN Project.

    Dari Ibu Pejabat Progresif, konvoi berkenaan bergerak ke Lebuhraya Hassanal Bolkiah, Berakas, menuju ke Taman Permainan Jerudong Park menggunakan Lebuhraya Tungku Link.

    Perjalanan mereka diteruskan ke Stadium Negara Hassanal Bolkiah dan kemudiannya ke Tarindak D’Seni dan berakhir di kawasan letak kereta Dermaga Diraja di Bandar Seri Begawan.

    Sementara itu di ibu negara, BWN Sunday Market turut diadakan bersempena dengan DGR Brunei, dengan mengetengahkan jualan makanan dan minuman oleh perusahaan kecil dan sederhana tempatan.

    Acara tersebut bertujuan untuk mengumpul dana dan meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan lelaki, terutamanya terhadap kanser prostat dan kesihatan mental.

    Acara berkenaan menyaksikan Wina Hafiza menjadi pengumpul dana terbanyak berjumlah $2,158, tempat kedua dimenangi oleh Andy Power yang berjaya mengumpul $824 dan Chris Yong berada di tempat ketiga dengan jumlah $674.

    Tahun ini juga menyaksikan penyertaan kali pertama oleh tiga orang peserta perempuan.

    Para peserta yang menyertai acara DGR bergambar ramai di kawasan letak kereta Dermaga Diraja, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda