Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    80 sertai forum tingkat kesedaran keselamatan jalan raya

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Seramai lebih 80 peserta telah menghadiri Forum Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Sedunia bagi Tahun 2025 yang berlangsung di Royal Berkshire Hall, Tarindak d’Polo, Jerudong, kelmarin.

    Forum yang dianjurkan oleh Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR), adalah sebahagian daripada platform perkongsian ilmu, pandangan dan amalan terbaik dalam usaha memperkukuhkan komitmen bersama ke arah mencapai matlamat jalan raya yang lebih selamat.

    Para peserta terdiri daripada para ahli MKKJR, pegawai kerajaan, wakil sektor swasta, ahli persatuan dan pelajar institusi pengajian tinggi.

    Sesi pertama bertemakan Every Life Counts: Break the Trend, Aim for Zero Fatality, telah dibentangkan oleh tiga orang ahli panel, iaitu Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan, Ketua Bahagian Keselamatan Pengangkutan di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Dayang Najeebah binti Pehin Datu Indera Setia Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Sulaiman; Pemangku Pengarah Jalan Raya di Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan, Ir Haji Mat Darus bin Haji Abu Bakar dan Ketua Bahagian Operasi & Penguatkuasa, Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalulintas, Pasukan Polis Diraja Brunei, Superintendent Pengiran Omarali bin Pengiran Haji Jamaludin.

    Sesi kedua bertemakan SMART Shift for Shaping Safety in Heavy Vehicles pula telah dibentangkan oleh dua orang ahli panel iaitu Penolong Ketua Pos Agung, Jabatan Pengangkutan Darat, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Dayang Mauludnah binti Haji Mohamad Nudin dan Quality Assurance, Brunei Shell Marketing Co Sdn. Bhd, Awang Mohd Bahri bin Suhaili.

    Kedua-dua sesi forum berkenaan telah dikendalikan oleh Dayang Nurnadhirah binti Awang Sh’minan selaku moderator.

    MKKJR menyeru semua pengguna jalan raya untuk memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan baik, mematuhi had laju yang ditetapkan, memakai tali pinggang keledar pada setiap masa, serta mengamalkan sikap berhemah dan berhati-hati ketika memandu.

    Pemandu turut diingatkan supaya tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan mengekalkan jarak selamat, khususnya semasa cuaca buruk atau dalam keadaan lalu lintas yang padat.

    Semua di atas: Antara suasana semasa forum berkenaan. – Gambar-gambar serahan MTIC

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda