Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Kira-kira 81 peratus kes positif jangkitan COVID-19 dalam kategori 1 dan 2 berada di pusat-pusat pengasingan yang disediakan oleh kerajaan.
Mereka akan dibenarkan pulang ke rumah dan meneruskan kuarantin di rumah sebaik saja disahkan sembuh.
“Dalam perkara ini, sukacita meminta kerjasama keluarga pesakit untuk menghantar satu persalinan pakaian ke pusat pengasingan di mana pesakit sedang ditempatkan dua dan tiga hari sebelum pesakit dibenarkan pulang.”
“Ini adalah untuk kegunaan pesakit semasa keluar dari pusat pengasingan kelak,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.
Menerangkan lanjut mengenai perkara itu, beliau berkata bahawa sebelum ini, mereka yang berada dalam kategori 1 dan 2 ditempatkan di Pusat Pengasingan Kebangsaan (NIC) tetapi sekarang mereka ditempatkan di Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) di Daerah Temburong atau pusat-pusat pengasingan yang lain.
“Jika mereka tidak mengalami sebarang gejala, pada hari ke-8 atau hari ke-10, mereka akan menjalani swab atau jika keputusan ujian swab mereka adalah negatif pada hari ke-8, mereka akan dibenarkan pulang kerana virus berkenaan tidak lagi viable.”
Beliau menerangkan lanjut bahawa apabila pesakit itu sampai ke rumah, Perintah Kuarantin (QO) mereka akan disambung bagi tempoh 14 hari lagi di mana ia menjadikan kesemuanya pengasingan selama 21 hari.
Beliau menambah bahawa di Eropah, kes-kes akan dikuarantin selama 10 hari dan juga diuji untuk virus berkenaan selepas 10 hari kerana mereka tahu bahawa virus berkenaan tidak lagi viable selepas hari ke-8.
Sementara itu, Yang Berhormat Dato berkata bahawa di Pusat Pengasingan Ma’had Islam Brunei, dewan digunakan bagi fasa pertama manakala fasa kedua dan ketiga menyaksikan pembinaan tambahan sementara yang boleh memuatkan seramai 800 orang pesakit dan menjadikan jumlah keseluruhan 1,000 orang pesakit ditempatkan di Ma’had Islam Brunei dalam ketiga-tiga fasa berkenaan.
Pusat Pengasingan Ma’had Islam Brunei bermatlamat untuk menempatkan kes-kes yang dikategorikan sebagai 2(b) dan ke atas kerana jika sesuatu berlaku, mudah untuk memindahkan pesakit berkenaan ke NIC di mana ia hanya mengambil masa hanya beberapa minit berbanding jika mereka di tempatkan di PKBN atau Lumut yang akan mengambil masa yang lebih lama.
Beliau menambah bahawa perancangan adalah bagi mereka yang mengalami gejala yang boleh menjadi lebih teruk untuk ditempatkan di Ma’had Islam Brunei manakala mereka yang mempunyai gejala yang teruk ditempatkan di NIC.
Mereka yang dikategorikan dalam kategori 1 dan 2 tidak lagi ditempatkan di NIC disebabkan peningkatan jumlah kes dalam kategori 3 dan 4.
Beliau menekankan bahawa NIC perlu disediakan sepenuhnya bagi pesakit-pesakit yang mempunyai sakit yang teruk. Di samping itu, Kementerian Kesihatan juga menambah lebih banyak sumber di pelbagai lokasi dengan lebih banyak doktor serta jururawat ditempatkan di Dearah Tutong dan pusat-pusat pengasingan yang lain.