Thursday, February 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    81 sertai kempen derma darah

    Oleh Faridah Haji Ibrahim

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mei – Sempena bulan Ramadan ini, rombongan seramai 81 orang daripada Gabungan Aliansi Rakyat Daerah Buruh Migran Indonesia (GARDA BMI) telah menjalankan aktiviti menderma darah di Pusat Menderma Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), baru-baru ini.

    Rombongan berkenaan terdiri daripada pelbagai kelompok komuniti warga Indonesia yang berada di Daerah Brunei dan Muara, Tutong dan Belait serta disokong oleh Kedutaan Besar Republik Indonesia di Brunei Darusalam.

    Dengan jumlah yang besar itu, aktiviti pendermaan darah telah dijalankan dari pukul 7:30 malam hingga 11 malam.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, GARDA BMI adalah antara penyumbang darah yang terus aktif sejak April 2015 sehingga kini, yang mana mereka sentiasa menyumbangkan darah setiap tiga bulan.

    Turut hadir menderma darah pada hari itu ialah ketua rombongan GARDA BMI, Sihabudin, Sekretaris Jeneral GARDA BMI, Nurhayana binti Abdullah dan Setiausaha Pertama Fungsi Penerangan Sosial dan Budaya di Kedutaan Indonesia, Shinta Hapsari. Sihabudin menjelaskan bahawa aktiviti menderma darah berkenaan adalah kali ke-11 diadakan dan sebelum ini GARDA BMI telah mengadakan pada 10 Februari 2018.

    Warga GARDA BMI yang menyertai kempen derma darah di Pusat Menderma Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

    Jelasnya, kegiatan ini juga salah satu tanda terima kasih dan amal jariah kepada kerajaan Negara Brunei Darussalam dan kegiatan kemanusiaan untuk meningkatkan perhubungan silaturahim yang lebih mesra antara sesama warga Indonesia yang bekerja di Brunei dengan penduduk tempatan.

    Selain itu, ia juga diadakan sebagai amal jariah warga Indonesia yang bekerja di negara ini dan dapat meningkatkan semangat setia kawan di samping membantu menambah stok simpanan darah di Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal, Hospital RIPAS.

    Pada bulan Ramadan ini, selain daripada menderma darah, gabungan berkenaan juga mengadakan aktiviti bertadarus setiap minggu dan Sambutan Nuzul Al-Quran.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda