Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Seramai 81 peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya telah diraikan dalam satu majlis setelah tamat Kursus Penyiasatan Lanjut dan Proses Pendakwaan di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya hari ini.
Hadir untuk menyempurnakan majlis penutup dan penyampaian sijil kepada peserta dan fasilitator kursus ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang) di Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah ketua-ketua jabatan, divisyen dan unit serta pegawai dan kakitangan di bawah Kementerian Pembangunan yang terlibat dalam penguatkuasaan undang-undang.
Pada majlis berkenaan, Pegawai Undang-Undang Kanan, Pegawai Pendakwa Raya dan Ketua Unit Jenayah Am, Bahagian Keadilan Jenayah, Pejabat Peguam Negara, Awang Shamsuddin bin Haji Kamaluddin dalam ucapan penutupnya mengongsi harapan supaya segala ilmu, kemahiran dan pengalaman yang diperoleh sepanjang kursus dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya dalam melaksanakan tugas-tugas penyiasatan serta penyediaan kertas siasatan.
Sepanjang kursus berkenaan, peserta telah mengikuti sembilan sesi yang merangkumi taklimat penerangan mengenai tatacara pengumpulan dan pemeliharaan bukti, merekod pernyataan dan isu-isu yang sering dialami dalam penyiasatan daripada fasilitator undangan dari Pejabat Peguam Negara yang diikuti dengan sesi soal jawab interaktif.
Pada akhir kursus berkenaan, para peserta juga berkesempatan untuk menjalani latihan praktikal untuk mengaplikasikan pengetahuan serta kemahiran yang telah diperoleh sepanjang sesi berkenaan.
Semua di atas: Dayang Aldila menyampaikan sijil kepada antara peserta kursus berkenaan.