Desas-desus hubungan cinta penyanyi Dayang Nurfaizah sebelum ini menjadi bualan ramai selepas dia sendiri mengakui sedang mengenali hati seseorang.
Biarpun begitu, Dayang atau Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 44, masih lagi berdolak-dalik akan identiti sebenar jejaka yang berjaya menambat hatinya.
Enggan terlalu bercerita, penyanyi ini lebih memberi tumpuan terhadap perkembangan kerjaya termasuk jadual persembahan bersama peminat.
“Dah lama saya tak main tarik tali (bergurau), apa boleh saya katakan sekarang hanyalah doakan yang terbaik buat saya.
“Tiada tarikh lain, yang penting sekarang hanyalah dua tarikh untuk persembahan eksklusif saya nanti,” katanya ringkas kepada mStar.
Dayang berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas selesai majlis sidang media Janji With Dayang di Wet Deck, Kuala Lumpur pada petang kelmarin.
Majlis berkenaan turut mengumumkan dua tarikh persembahan eksklusifnya di Top View, Komtar, Pulau Pinang, 23 Ogos dan Tower Terrace, Menara Kuala Lumpur pada 27 September depan.
Teruja untuk mengadakan persembahan, Dayang juga akan memastikan semua komposer dalam album Janji akan hadir pada dua hari berkenaan.
“Komposer dijemput dan akan hadir, mereka orang penting dan istimewa untuk persembahan eksklusif saya,” jelasnya.
Antara komposer bagi album Janji ialah Hael Husaini, Ajai, Sirkhan, Aubrey Suwito, Genervie Kam dan Audi Mok.
Sebelum ini timbul spekulasi Dayang bakal menamatkan zaman bujang selepas dia bertemu jejaka pilihan hatinya.
Biarpun mengakui dalam proses berkenalan, dia bagaimana tidak memberi sebarang maklum balas apabila ditanya tentang tarikh pernikahan. – Agensi
