Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JULAI – Masa depan kewangan akan dibentuk oleh peningkatan kesedaran terhadap perubahan iklim, tahap kerumitan dan pendigitalan yang semakin berkembang, ketidakpastian yang lebih ketara serta kebergantungan yang semakin kukuh terhadap kepercayaan, kerjasama dan keterhubungan global.
Penekanan itu dibuat oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid selaku Pengerusi Lembaga Pengarah BDCB, ketika menyampaikan ucaptama bagi pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa The 3rd ASEAN Forum: The Future of Finance yang berlangsung di The Empire Brunei, hari ini.
Beliau turut menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam bersama negara-negara ASEAN lainnya perlu bersatu dan melabur dalam modal insan, memperkukuh kewangan lestari dan kewangan Islam serta menerapkan transformasi digital dengan tujuan dan integriti.
Forum itu diadakan oleh Asia Asset Management (AAM) dengan kerjasama Brunei Institute of Leadership & Islamic Finance (BILIF) dan dengan sokongan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) yang mana ia merupakan salah satu acara yang dianjurkan oleh BILIF sempena tahun kelima menyokong Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2025, yang merupakan sebuah inisiatif yang dijayakan oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan.
Forum itu juga disokong oleh China Universal Asset Management, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), PGIM Fixed Income dan S&P Dow Jones Indices.
Dengan tema Navigating an Era of Transition, forum berkenaan bertujuan untuk meneroka landskap kewangan yang semakin berubah dalam persekitaran ketidakpastian global yang melibatkan perbincangan oleh penggubal dasar, pengawal selia dan pakar industri bagi memastikan sektor kewangan ASEAN kekal berdaya tahan dan berdaya saing dalam ekonomi global yang berkembang pesat.
Forum berkenaan menampilkan pembentangan dan sesi panel yang membincangkan topik-topik utama, seperti pengurusan risiko pelbagai aset dan strategi pelaburan, peranan dana pencen ASEAN yang semakin berkembang, pembiayaan infrastruktur di rantau ASEAN, serta kemunculan aset digital dan pengurusan harta yang berdaya tahan.
Wakil-wakil daripada dana pencen, badan pengawal selia, dan institusi pelaburan dari Negara Brunei Darussalam, Thailand, Filipina, Singapura, dan negara-negara ASEAN yang lain menekankan mesej utama forum iaitu kepentingan kepimpinan strategik, inovasi, dan kerjasama serantau dalam menghadapi cabaran pelaburan global masa kini. Forum diakhiri dengan ucapan penutup oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, BILIF, Afero Eswandy Mohamad.

– GAMBAR-GAMBAR OLEH JAMES KON