828 individu ditahan ingkar arahan PKP

KUALA LUMPUR, 30 MAC – Seramai 828 individu ditahan dalam rondaan dan sekatan jalan raya Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, jumlah penahanan itu menunjukkan polis mengambil tindakan lebih tegas berikutan masih terdapat rakyat yang tidak mematuhi PKP.

PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan 1,520 sekatan jalan raya dan melakukan 257,287 pemeriksaan kenderaan sehingga semalam, katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri Mengenai PKP di Putrajaya dekat sini, hari ini.

Beliau berkata jumlah keseluruhan anggota yang bertugas dalam pelaksanaan PKP adalah seramai 67,774 dan lebih ramai petugas yang akan digerakkan sekiranya ada keperluan. – Bernama