Thursday, February 13, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    83 jenis produk dirampas, tiga kena kompaun

    Oleh Sim Y.H. –

    TUTONG, 9 JAN – Sebanyak 83 jenis produk telah dirampas dalam operasi bersepadu di sebuah rumah di Daerah Tutong pada 24 Ogos 2023.

    Produk-produk berkenaan terdiri daripada produk ubat yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Ubat, produk perangsang seks, produk yang dilarang penjualannya kerana dicemari dengan bahan racun berjadual yang tersenarai dalam Akta Racun 1956 serta produk-produk kosmetik yang dijual tanpa Surat Pengakuan Notfikasi Kementerian Kesihatan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan di sini, hari ini, kementerian berkenaan melalui Jabatan Perkhidmatan Farmasi dan Unit Penguatkuasaan Kesihatan telah menjalankan operasi bersepadu bersama Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) yang melibatkan seorang runner dan sebuah rumah yang menjual produk-produk di bawah kawalan Jabatan Perkhidmatan Farmasi.

    Tindakan berkenaan diambil selepas menerima maklumat daripada orang awam mengenai penjualan ubat perangsang seks di laman media sosial.

    Dalam operasi bersepadu itu, seorang runner telah dipintas dan sebuah rumah di Daerah Tutong telah diserbu di mana hasil gerakan operasi berkenaan telah berjaya merampas sebanyak 83 jenis produk kesihatan dengan jumlah keseluruhan rampasan produk berkenaan dianggarkan bernilai $9,597.70.

    Antara produk yang tidak berdaftar. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN

    Di samping itu, barangan vape, rokok dan wang tunai berjumlah $22,257 dan barangan lain turut dirampas dalam operasi berkenaan.

    Hasil daripada operasi itu, Kementerian Kesihatan telah mendapati tiga orang terdiri daripada dua orang lelaki warganegara tempatan dan seorang perempuan warga Indonesia telah melakukan kesalahan-kesalahan di bawah Perintah Ubat 2007 dengan denda kompaun sebanyak $4,000 telah dikeluarkan kepada pesalah-pesalah berkenaan.

    Kementerian Kesihatan menyatakan lanjut bahawa penjualan produk ubat-ubatan yang tidak berdaftar dan produk kosmetik tanpa Surat Pengakuan Notifikasi, Kementerian Kesihatan adalah melanggar Bab 10, Perintah Ubat, 2007 dan Peraturan 5(1)(a) Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007.

    Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi dari $5,000 atau dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada apabila membeli produk kesihatan dengan iklan dan promosi yang berlebihan di laman media sosial yang tidak diketahui kesahihannya.

    Orang ramai hendaklah memastikan bahawa produk-produk berkenaan mempunyai kebenaran dan kelulusan daripada pihak-pihak yang berwajib di negara ini.

    Pengambilan ubat perangsang seks tanpa pengawasan doktor boleh meningkatkan tekanan darah dan denyutan jantung, seterusnya meningkatkan risiko serangan jantung serta strok terutama mereka yang mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis serta masalah buah pinggang.

    Dalam usaha Kementerian Kesihatan melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam melalui pemantauan dan aktiviti penguatkuasaan secara berterusan, orang ramai digalakkan bagi membuat aduan dan memberikan maklumat mengenai penjualan produk-produk yang di bawah Kawalan Jabatan Perkhidmatan Farmasi yang disyaki melanggar Perintah Ubat, 2007 dan peraturan-peraturan yang berkenaan.

    Mereka boleh membuat aduan dan memberikan maklumat kepada Bahagian Komplians dan Pelesenan, Jabatan Perkhidmatan Farmasi melalui talian, 2393301 sambungan 208 atau menghantar e-mel kepada pharmacy.enforcement@moh.gov.bn atau terus berjumpa pegawai farmasi di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong A atau menghubungi Talian Darussalam 123 supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk seperti itu di pasaran.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda