Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Sekolah Ugama (SU) Lumapas, kelmarin, telah meraikan seramai 83 orang murid cemerlang daripada Darjah Pra hingga 6 pada Majlis Penyampaian Hadiah Terbaik dan Cemerlang tahun 2018.
Hadiah-hadiah telah disampaikan Guru Besar SU Lumapas, Awang Mohd Khairuddin bin Haji Kamis selaku tetamu khas.
Daripada jumlah murid-murid yang diraikan itu, dua orang murid telah dipilih sebagai penyandang Murid Cemerlang Keseluruhan bagi Sesi Rendah Bawah yang diberikan kepada Wan Amirul Aziman bin Haji Zaini (Darjah 2ba) dan Dayang Mawwadah Batrisyia Shahirah binti Haji Muhyamin (Darjah 4 ba) sebagai penerima Sesi Rendah Atas. Kedua-dua mereka dipilih kerana memperolehi peratus tertinggi dalam kategori keseluruhan.
Selain daripada itu, hadiah-hadiah juga diberikan kepada murid-murid yang memperoleh kehadiran terbaik dan murid-murid yang lulus memasuki sekolah persediaan Arab tahun hadapan.
Tahun ini sekolah berkenaan telah mencatatkan seramai 15 orang murid diterima masuk ke sekolah Arab.
Keputusan tahun ini telah menunjukkan peningkatan sebanyak 14 peratus berbanding tahun lalu.
Pihak sekolah berharap untuk meningkatkan prestasi murid-murid untuk lebih berusaha dan mencapai yang lebih baik pada masa akan datang.
