Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JAN – Seramai 83 pelajar terdiri daripada 35 pelajar lelaki dan 48 pelajar perempuan yang telah berjaya mengikuti Skim Tilawah Al-Quran Remaja (STAR) bagi pengambilan ke-28 Sesi Pengajian 2025-2026, telah menghadiri sesi taklimat dan pendaftaran STAR, hari ini.
Sesi pendaftaran dan taklimat anjuran Jabatan Pengajian Islam (JPI) melalui Unit Tilawah Al-Quran dan Dikir itu diadakan di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Masna, Bandar Seri Begawan.
Taklimat disampaikan oleh Ketua Unit Tilawah Al-Quran dan Dikir, Bahagian Pelajaran Lanjutan, JPI, Dayang Siti Huzzaimah Yadey binti Haji Rosli dan diteruskan dengan sesi pengenalan tenaga-tenaga pengajar skim dari seluruh negara.
Pelajar yang berjaya mengikut skim berkenaan telah menjalani temu duga yang diadakan pada bulan September 2024.
Taklimat berkenaan antara lain menerangkan mengenai Program STAR yang mana para peserta akan mengikuti skim tersebut selama dua tahun dan akan dikendalikan selama dua jam pada setiap Jumaat dan Ahad semasa penggal persekolahan.
Program STAR ditubuhkan dengan objektif untuk melatih dan membimbing pelajar remaja dalam pembacaan Al-Quran melalui lagu-lagu tilawah yang masyhur, dikir dan juga tausyeh.
Di samping itu, skim tersebut diharap akan dapat melahirkan pembaca-pembaca Al-Quran remaja berpotensi yang dihasratkan menjadi pelapis qari dan qariah negara peringkat kebangsaan.