Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Sebanyak 83 sijil halal dan permit telah diluluskan oleh Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) bagi bulan Jun 2025, meliputi permohonan baharu dan pembaharuan di seluruh negara.
Menurut kenyataan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah, bagi permohonan baharu sebanyak 21 sijil halal dan tiga permit telah diberikan, manakala bagi permohonan pembaharuan sebanyak 55 sijil halal dan empat permit diluluskan.
Pemilik syarikat atau premis yang tersenarai tetapi masih belum membuat pembayaran diminta untuk segera menjelaskan bayaran serta mengambil sijil halal atau permit masing-masing di Tingkat 3, Jabatan Majlis Ugama Islam, Bangunan Tambahan KHEU, Jalan Dewan Majlis, Berakas.
KHEU turut mengingatkan bahawa mempamerkan sijil halal merupakan kehendak undang-undang yang wajib dipatuhi oleh semua pemegang sijil halal.
Senarai lengkap premis makanan yang telah diberikan Sijil Halal atau permit MUIB boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi KHEU di www.kheu.gov.bn atau Instagram Bahagian Kawalan Makanan Halal di @halal.bn bagi maklumat terkini.


